Tuesday, February 15, 2011

Puisi Karamah Melayu

Bangsa Melayu pernah kuat,
Buka tanah guna tulang empat kerat,
Tongkat Ali jamu khasiat.
Bangsa Melayu pernah digentar,
Ular, harimau ditepuk tampar,
Kerisnya bisa, silatnya gempar,
Amuk Melayu, bumi bergegar.
Bangsa Melayu pernah gagah,
Berkaki ayam, hutan diredah,
Pernah cuba diganyang penjajah,
Umat Melayu, jihad sabilillah!!
Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Terbilang merata, kesultannya hebat,
7 Bangsa penjajah cuba menempat,
Dengan kudrat semua dihambat!!
Bangsa Melayu bangsa keramat,
Nabi(saw) pernah diberi amanat,
Buat dakwah, nun di bumi berekat,
Di akhir masa, ramai wali hebat .
Bangsa Melayu bangsa hikmat,
Sejarah Melayu tertera riwayat,
Nabi (saw) pernah beri alamat,
Raja Melaka mendapat hidayat.
Bangsa melayu tak makan saman,
Agama dijunjung zaman-berzaman,
Wali Melayu penuh kehebatan,
Karamah, barakah, jadi laziman.
Bangsa Melayu penuh daulah,
Halusi sahaja kisah sejarah,
‘Wa’ad’ Melayu jangan disanggah,
Sanggah wa’ad, mendapat ‘tulah’.
Tanah Melayu  pernah berekat,
Raja dan rakyat sentiasa muafakat,
Alim-ulamak sangat dihormat,
Bumi bertuah, terbilang sejagat.
Bumi Melayu pernah berekat,
Tempat tumpuan ulamak sejagat,
Madrasah, pondok merata tempat,
Menjana insan unggul dan hikmat.
Tanah Melayu intinya hebat,
Bumi zuriat Nabi (saw), itulah kudrat,
Kesultanan Melayu hampir padat,
Pancaran Nabi (saw), penuh keramat.
Bumi Melayu pernah terbilang ,
Sejarah rajanya penuh gemilang,
Turunan penjajah, entah mana menghilang,
Turunan Raja Melaka, tetap ditatang.
Melayu pernah berilmu dan berbudaya,
Beribu manuskripnya tersimpan merata,
Dikaji selidik sarjana sedunia,
Kalau sangsi, tanyalah Arkib Negara.
Bangsa Melayu halus seninya,
Hayati warisan persuratannya,
Syair seloka sungguh indahnya,
Pertukangan, sulaman, tiada taranya.
Berkurun Melayu jujung agama,
Adat dijaga bersama-sama,
Bangsa Melayu harum namanya,
Rahmat Allah dimana jua.
Orang Melayu usah alpa,
Warisan bangsa bukan sehari dua,
Pusaka Melayu 6 kurun lamanya,
Menyimpan  sejarah nenek moyang kita.
Orang Melayu usah goyang,
Propaganda bohong supaya kita melatah,
Ungkapan ‘Melayu lemah’semata tohmah,
Strategi musuh menebar fitnah.
Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Namun dicemar Inggeris Keparat,
Propaganda bohong itulah hakikat,
Namun Melayu termasuk jerat.
Jatidiri Melayu sebenarnya kuat,
Bangsa Melayu pernah berdaulat,
Silap Melayu membuang adat,
Silap rajanya membuang muafakat.
Bukan baru musibah Melayu,
Telah bermula sekurun nan lalu,
Serangan musuhnya bertalu-talu,
Sehingga bangsa menjadi terkelu.
Melayu mula ditimpa musibah,
Pabila Inggeris datang menjajah,
Adat dibuang, agama disanggah
Akhirnya Melayu mendapat ‘tulah’.
Sekian lama Melayu jadi sasaran,
Sejarah, jatidirinya jadi serangan,
Musuh luar dan musuh dalaman,
Mungkinkah tersirat suatu ramalan?
Melayu kini resah gelisah,
Namun jelas hakikat sejarah,
Mungkinkah tersirat, sebalik musibah,
Melayu pencetus kebangkitan ummah?
Ingatlah pesanan junjungan Rasulullah (saw),
Panji hitam dari timur, bumi karamah,
Bangsa Melayu usah menyerah,
Cari kekuatan dari sejarah.
Sejarah Melayu sebenarnya hebat,
Jatidiri Melayu usah menyerah,
Bumi ahlul-bait itulah kudrat,
Umarak ulamak kuncinya terletak!
Laksamana Hang Tuah Gagah Orangnya,
Berguru, bertarikat, berisi dirinya,
Jangan perlekeh riwayat firasatnya
‘Takkan Melayu hilang didunia’!!

Dunia Melayu Menurut Sheikh Ahmad al Fathani

Koleksi artikel



TEUKU Umar Johan Pahlawan (kiri) yang memimpin perang jihad fisabillah menentang penjajahan Belanda.



HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.



Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1.

Petikan itu ialah:



"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.  



"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.



"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu. 
"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.



"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."



Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.



Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.



  Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu). 
Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.



  Dunia Melayu dari aspek geografi dan kesuburannya Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina.



  Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa. Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.




  Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumatterbitan Betawi.Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.



  Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita". 




Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu



  Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu"




  Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya. Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya". Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah". 
Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab. 
Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna". 
Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam." 
Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..." 




Aspek perkembangan ilmu pengetahuan 



  Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).




Aspek kedaulatan pemerintahan



  Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahinmemberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.



  Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar. 
Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh. 
Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.



Penutup



  Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.


Utusan Malaysia
4/9/2009

Friday, December 17, 2010

Melayu pencipta nombor ‘kosong’?

Oleh: Fathi Aris Omar
‘Kosong’, atau 0, bukan sebarang nombor, penemuannya merevolusikan pemikiran matematik dan sains moden. Nombor ini diperkenalkan di Eropah pada awal abad ke-13 selepas ia dikembangkan di dunia Arab-Islam pada kurun kesembilan.
Tokoh matematik dunia Arab, Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi, memperkenalnya di Iraq melalui bukunya Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabbala (tahun 837) setelah lawatannya di India, benua yang dipercayai “menemui” nombor maha penting ini pada tahun 594.
Tamadun Eropah mengambil kosong, atau zero, daripada penemuan dunia Arab, sifr (sifar). Ia dibawa oleh pemikir Itali, Fibonacci, dalam tahun 1202 melalui karya popularnya Liber Abaci. Perkataan sifar ini juga membentuk perkataan cipher dalam bahasa Inggeris yang membawa masud “tiada apa-apa”, “simbol”, “kod” atau “mesej rahsia”.
Bagaimanapun pensyarah matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, mengemukakan satu hipotesis lain — penciptaan simbol ‘kosong’ mungkin bermula di alam Melayu selewat-lewatnya pada 580.
Beliau bersandarkan hujah beberapa pengkaji, termasuk karya yang banyak dibahaskan The Universal History of Numbers (terbit 1998) oleh Georges Ifrah, terjemahan edisi Perancis Histoire Universelle des Chiffres pada 1981.
Sebelum dipopularkan al-Khwarizmi, Ifrah menyebut, beberapa nombor kosong di tulisan-tulisan pada batu ditemui antaranya prasasti tembaga Sankheda di India pada 594, Trapaeng Prei di Kemboja (683), Kedukan Bukit, Sumatera (683), Kota Kapor, Sumatera (686), Dinaya, Jawa (793), Po Nagar, Vietnam (813) dan Bakul, Vietnam (829).
Dr Mohammad Alinor berkata, bukti-bukti tambahan yang beliau kumpul dan keterangan Ifrah ini bermungkinan telah lama diketahui oleh seorang penyelidik sejarah China, Joseph Needham dalam bukunya Science and Civilisation in China (1959).
“Needham menyatakan bahawa simbol ’0′ sebenarnya dihasilkan di bahagian timur tamadun India, iaitu bahagian yang paling hampir dengan China yang menganggap ’0′ sebagai tempat kosong,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Selain itu, tambahnya, seorang ahli matematik Zakov pernah menyebut di satu seminar sejarah sains di Eropah pada 1975 bahawa “simbol 0 yang direkodkan dalam prasasti-prasasti dari kepulauan Melayu lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim yang direkodkan oleh al-Khwarizmi.”
Dr Mohammad Alinor berkata, seorang profesor pelawat dalam bidang pendidikan matematik di UKM, Frank J. Swetz pada 1979, pernah menyebut “etnik Batak di Sumatera memiliki sistem angka merangkumi 0 yang lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim.”
Beliau berhujah lagi, sebelum al-Khwarizmi, “ada 17 maklumat dalam tamadun Melayu berbanding tujuh maklumat dalam tamadun India yang memiliki simbol 0.”
Dr Mohammad Alinor antara sekumpulan kecil pensyarah matematik Malaysia yang membahaskan perkara ini, sementara rata-rata ahli akademik dan media tidak memperkatakannya walaupun kajian awal pernah dibentangkan beberapa kali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kumpulan ini termasuklah Prof Dr Shaharir Mohamad Zain yang kini mengajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Abdul Latif Samian (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Salleh (UKM), Dr Mat Rofa Ismail (Universiti Putra Malaysia) dan beberapa pelajar mereka.
Dihubungi mStar Online hari ini, Dr Shaharir berkata beliau sendiri mula membentang tentang hipotesis penemuan nombor ‘kosong’ di alam Melayu pada 1997 dan 1998, termasuk di luar negeri. Makalahnya yang membincangkan perkara ini “A Note on the Decimal System” diterbitkan dalamHumanistic Mathematics Network Journal pada 2001.
Beliau kesal dengan sikap orang Melayu yang tidak gemar menggali sejarah pencapaian budaya dan keilmuan dalam tamadun mereka sendiri, mengulangi rungutan Dr Mohammad Alinor.
“Orang kita pada amnya tidak minat sejarah, bukan sahaja sejarah matematik,” kata Dr Shaharir, mengulas motivasi awalnya menggali persoalan ini.
“Saya berminat mengetahui perkembangan sains dalam tamadun Melayu sebab selalunya pengkaji melihat sumbangan sastera sahaja. Saya sendiri terkejut sewaktu mengetahui tentang sejarah nombor kosong di alam Melayu.”
Katanya, sewaktu kertas kerjanya “A Note on the Decimal System” dibentangkan di satu seminar antarabangsa, Swetz — kini menitikberatkan kajian tamadun China — sendiri mengucap tahniah atas kajiannya itu.
Sementara Dr Mohammad Alinor pula hairan melihat kecenderungan orang Melayu yang hanya menekankan tamadun Melayu mulai sejarah kemasukan Islam.
“Tamadun Melayu seperti yang sepatutnya difahami bermula di zaman Hindu-Buddha sekitar tahun 190, kemudiannya zaman Islam bermula 1200 dan akhirnya zaman penjajahan-kemerdekaan bermula pada1470. Jika dipinggirkan zaman yang pertama itu, seperti yang berlaku kini, … itu sebenarnya melupakan sekitar 1100 tahun sejarah tamadun Melayu,” kata pensyarah muda itu.
“Akibatnya, kita tidak memahami bagaimana Melayu berfikir menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengannya. Juga, kita kehilangan maklumat berkenaan bahasa Melayu kuno, yang amat berharga itu. Apa lagi maklumat berkenaan sains dan teknologi Melayu.”
Bagaimanapun pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM ini menyebut hipotesis Melayu menemukan nombor kosong ini masih memerlukan kajian lanjut.
“Cukupkah dua fakta umum ini membuktikan bahawa simbol 0 adalah ciptaan bangsa Melayu, atau lebih tepat ciptaan bangsa Funan/Chenla (sekarang Kemboja) atau Sriwijaya (Sumatera) atau Jawa?” katanya.
“Jika Melayu yang mencipta simbol 0, bagaimanakah hendak ditunjukkan bahawa tamadun India mengambil daripadanya? Tamadun India diketahui pernah menterjemahkan buku-buku falsafah Jawa, tapi adakah sistem angka terangkum di dalamnya?”
Dr Mohammad Alinor menyarankan beberapa hipotesis ini “amat positif untuk dikaji dengan lebih lanjut” kerana kini sudah wujud rujukan-rujukan yang boleh dimanfaatkan secara langsung, termasuk penggunaan sistem nombor berdasarkan sistem metrik atau asas persepuluhan yang lebih awal di alam Melayu berbanding Arab-Islam (abad ke-9) dan Eropah (kurun ke-19).
Menurutnya, perkataan tujuh (7) dan saribu (1000) ditemui pada batu bersurat Vo-Canh di Kemboja sekitar kurun keempat.
Bukti-bukti lain termasuklah tiga perkataan pembilangan duaratus (200),sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20,000) pada prasasti Kedukan Bukit pada tahun 683, perkataan sapuluh dua (12) dan dua laksa(20,000) di prasasti Telaga Batu (Sumatera) pada 683.
Walaupun nombor atau simbol ‘kosong’ lewat tercipta, manusia sudah memahami konsep ‘kosong’ jauh lebih awal seperti yang ditemui pada tamadun-tamadun China dan Babylon.
Tamadun Maya-Aztec di Amerika Tengah juga berjaya mencipta simbol ‘kosong’ yang menyerupai kulit siput. Namun mereka dipercayai tidak memindahkan pengetahuan itu kepada perabadan bangsa-bangsa lain sehingga diwarisi pada zaman moden kecuali satu hipotesis.
“Pernah dihipotesiskan di International Congress of Americanist pada 1949 bahawa wujudnya pertukaran budaya di antara Funan dengan Maya/Aztec. Tapi, adakah sistem angka sebahagian daripada yang ditukarkan?” kata Dr Mohammad Alinor.
“Tidak ada langsung bentuk simbol ’0′ di Asia Tenggara yang menyerupai kulit siput.”