Oleh: Fathi Aris Omar
‘Kosong’, atau 0, bukan sebarang nombor, penemuannya merevolusikan pemikiran matematik dan sains moden. Nombor ini diperkenalkan di Eropah pada awal abad ke-13 selepas ia dikembangkan di dunia Arab-Islam pada kurun kesembilan.
Tokoh matematik dunia Arab, Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi, memperkenalnya di Iraq melalui bukunya Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabbala (tahun 837) setelah lawatannya di India, benua yang dipercayai “menemui” nombor maha penting ini pada tahun 594.
Tamadun Eropah mengambil kosong, atau zero, daripada penemuan dunia Arab, sifr (sifar). Ia dibawa oleh pemikir Itali, Fibonacci, dalam tahun 1202 melalui karya popularnya Liber Abaci. Perkataan sifar ini juga membentuk perkataan cipher dalam bahasa Inggeris yang membawa masud “tiada apa-apa”, “simbol”, “kod” atau “mesej rahsia”.
Bagaimanapun pensyarah matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, mengemukakan satu hipotesis lain — penciptaan simbol ‘kosong’ mungkin bermula di alam Melayu selewat-lewatnya pada 580.
Beliau bersandarkan hujah beberapa pengkaji, termasuk karya yang banyak dibahaskan The Universal History of Numbers (terbit 1998) oleh Georges Ifrah, terjemahan edisi Perancis Histoire Universelle des Chiffres pada 1981.
Sebelum dipopularkan al-Khwarizmi, Ifrah menyebut, beberapa nombor kosong di tulisan-tulisan pada batu ditemui antaranya prasasti tembaga Sankheda di India pada 594, Trapaeng Prei di Kemboja (683), Kedukan Bukit, Sumatera (683), Kota Kapor, Sumatera (686), Dinaya, Jawa (793), Po Nagar, Vietnam (813) dan Bakul, Vietnam (829).
Dr Mohammad Alinor berkata, bukti-bukti tambahan yang beliau kumpul dan keterangan Ifrah ini bermungkinan telah lama diketahui oleh seorang penyelidik sejarah China, Joseph Needham dalam bukunya Science and Civilisation in China (1959).
“Needham menyatakan bahawa simbol ’0′ sebenarnya dihasilkan di bahagian timur tamadun India, iaitu bahagian yang paling hampir dengan China yang menganggap ’0′ sebagai tempat kosong,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Selain itu, tambahnya, seorang ahli matematik Zakov pernah menyebut di satu seminar sejarah sains di Eropah pada 1975 bahawa “simbol 0 yang direkodkan dalam prasasti-prasasti dari kepulauan Melayu lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim yang direkodkan oleh al-Khwarizmi.”
Dr Mohammad Alinor berkata, seorang profesor pelawat dalam bidang pendidikan matematik di UKM, Frank J. Swetz pada 1979, pernah menyebut “etnik Batak di Sumatera memiliki sistem angka merangkumi 0 yang lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim.”
Beliau berhujah lagi, sebelum al-Khwarizmi, “ada 17 maklumat dalam tamadun Melayu berbanding tujuh maklumat dalam tamadun India yang memiliki simbol 0.”
Dr Mohammad Alinor antara sekumpulan kecil pensyarah matematik Malaysia yang membahaskan perkara ini, sementara rata-rata ahli akademik dan media tidak memperkatakannya walaupun kajian awal pernah dibentangkan beberapa kali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kumpulan ini termasuklah Prof Dr Shaharir Mohamad Zain yang kini mengajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Abdul Latif Samian (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Salleh (UKM), Dr Mat Rofa Ismail (Universiti Putra Malaysia) dan beberapa pelajar mereka.
Dihubungi mStar Online hari ini, Dr Shaharir berkata beliau sendiri mula membentang tentang hipotesis penemuan nombor ‘kosong’ di alam Melayu pada 1997 dan 1998, termasuk di luar negeri. Makalahnya yang membincangkan perkara ini “A Note on the Decimal System” diterbitkan dalamHumanistic Mathematics Network Journal pada 2001.
Beliau kesal dengan sikap orang Melayu yang tidak gemar menggali sejarah pencapaian budaya dan keilmuan dalam tamadun mereka sendiri, mengulangi rungutan Dr Mohammad Alinor.
“Orang kita pada amnya tidak minat sejarah, bukan sahaja sejarah matematik,” kata Dr Shaharir, mengulas motivasi awalnya menggali persoalan ini.
“Saya berminat mengetahui perkembangan sains dalam tamadun Melayu sebab selalunya pengkaji melihat sumbangan sastera sahaja. Saya sendiri terkejut sewaktu mengetahui tentang sejarah nombor kosong di alam Melayu.”
Katanya, sewaktu kertas kerjanya “A Note on the Decimal System” dibentangkan di satu seminar antarabangsa, Swetz — kini menitikberatkan kajian tamadun China — sendiri mengucap tahniah atas kajiannya itu.
Sementara Dr Mohammad Alinor pula hairan melihat kecenderungan orang Melayu yang hanya menekankan tamadun Melayu mulai sejarah kemasukan Islam.
“Tamadun Melayu seperti yang sepatutnya difahami bermula di zaman Hindu-Buddha sekitar tahun 190, kemudiannya zaman Islam bermula 1200 dan akhirnya zaman penjajahan-kemerdekaan bermula pada1470. Jika dipinggirkan zaman yang pertama itu, seperti yang berlaku kini, … itu sebenarnya melupakan sekitar 1100 tahun sejarah tamadun Melayu,” kata pensyarah muda itu.
“Akibatnya, kita tidak memahami bagaimana Melayu berfikir menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengannya. Juga, kita kehilangan maklumat berkenaan bahasa Melayu kuno, yang amat berharga itu. Apa lagi maklumat berkenaan sains dan teknologi Melayu.”
Bagaimanapun pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM ini menyebut hipotesis Melayu menemukan nombor kosong ini masih memerlukan kajian lanjut.
“Cukupkah dua fakta umum ini membuktikan bahawa simbol 0 adalah ciptaan bangsa Melayu, atau lebih tepat ciptaan bangsa Funan/Chenla (sekarang Kemboja) atau Sriwijaya (Sumatera) atau Jawa?” katanya.
“Jika Melayu yang mencipta simbol 0, bagaimanakah hendak ditunjukkan bahawa tamadun India mengambil daripadanya? Tamadun India diketahui pernah menterjemahkan buku-buku falsafah Jawa, tapi adakah sistem angka terangkum di dalamnya?”
Dr Mohammad Alinor menyarankan beberapa hipotesis ini “amat positif untuk dikaji dengan lebih lanjut” kerana kini sudah wujud rujukan-rujukan yang boleh dimanfaatkan secara langsung, termasuk penggunaan sistem nombor berdasarkan sistem metrik atau asas persepuluhan yang lebih awal di alam Melayu berbanding Arab-Islam (abad ke-9) dan Eropah (kurun ke-19).
Menurutnya, perkataan tujuh (7) dan saribu (1000) ditemui pada batu bersurat Vo-Canh di Kemboja sekitar kurun keempat.
Bukti-bukti lain termasuklah tiga perkataan pembilangan duaratus (200),sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20,000) pada prasasti Kedukan Bukit pada tahun 683, perkataan sapuluh dua (12) dan dua laksa(20,000) di prasasti Telaga Batu (Sumatera) pada 683.
Walaupun nombor atau simbol ‘kosong’ lewat tercipta, manusia sudah memahami konsep ‘kosong’ jauh lebih awal seperti yang ditemui pada tamadun-tamadun China dan Babylon.
Tamadun Maya-Aztec di Amerika Tengah juga berjaya mencipta simbol ‘kosong’ yang menyerupai kulit siput. Namun mereka dipercayai tidak memindahkan pengetahuan itu kepada perabadan bangsa-bangsa lain sehingga diwarisi pada zaman moden kecuali satu hipotesis.
“Pernah dihipotesiskan di International Congress of Americanist pada 1949 bahawa wujudnya pertukaran budaya di antara Funan dengan Maya/Aztec. Tapi, adakah sistem angka sebahagian daripada yang ditukarkan?” kata Dr Mohammad Alinor.
“Tidak ada langsung bentuk simbol ’0′ di Asia Tenggara yang menyerupai kulit siput.”
No comments:
Post a Comment